Oleh Siti Aishah Ibrahim
Nazlin Abu Samah.
--------------------------------------------------------------------------------
MENGUNGKAP personaliti seseorang tidak cukup sekadar pandangan melalui mata, sebaliknya kita perlu mengenali dan mendekatinya dengan lebih dekat untuk lebih memahaminya.
Justeru, peluang menemu bual sekali gus mengenenali Nazlin Abu Samah, yang memiliki paras rupa persis gadis Cina ini tidak penulis lepaskan.
Walaupun agak sukar untuk menentukan masa temu janji yang sesuai, huluran untuk menemu bual bagi mengisi ruangan Personaliti minggu ini tetap disambut mesra.
Sememangnya Nazlin, 27, mempunyai rutin harian yang padat dan sibuk setiap hari. Maklumlah bekerja sambil belajar memang sesuatu yang memenatkan serta memerlukan pengurusan masa yang bijak dan praktikal.
Namun, baginya ia adalah suatu yang menyeronokkan kerana berasa setiap waktunya berjaya dimanfaatkan dengan sempurna.
Fasih berbahasa Inggeris serta mempunyai keupayaan berkomunikasi dengan baik melayakkan Nazlin menyandang jawatan di bahagian Pemasaran, Komunikasi dan Pengetahuan Ernst & Young, sebuah syarikat bertaraf antarabangsa.
Bekas siswazah Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Pengurusan Pelancongan menerima tawaran bekerja di firma tersebut atas dasar ingin menimba pengalaman biarpun beliau menyedari ia agak menyimpang dengan bidang pengajiannya dulu.
Berpeluang
“Di sini saya banyak didedahkan dengan bidang perniagaan dan korporat. Sebab itu apabila berpeluang menyambung pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaysa saya pilih jurusan Pentadbiran Perniagaan (MBA) pengkhususan dalam Perniagaan Antarabangsa..
“Insya-allah, saya selepas ini saya akan meluaskan prospek saya di bahagian selain daripada Komunikasi Korporat,” jelasnya yang dalam masa sama turut memasang niat untuk membuka restoran bersama ibunya, seorang tukang masak di sebuah hotel terkenal di ibu negara.
Menerangkan lebih lanjut tugasnya di Ernst & Young, yang mempunyai 140 anak syarikat di seluruh dunia, kata Nazlin, kerja hariannya lebih kepada media monitoring iaitu membuat pemerhatian terhadap artikel-artikel berkenaan syarikat serta mengemas kini maklumat di laman web Internet dan intranet.
Pendek kata semua tugas yang berbentuk komunikasi seperti penyiaran dan penerbitan secara luaran dan dalaman menjadi salah satu tanggungjawabnya.
“Selain itu saya juga banyak melakukan pelbagai tugas seperti membantu dalam penyelidikan pasaran dan secara tidak langsung saya turut terbabit dalam pengurusan sesuatu majlis yang diadakan oleh syarikat,” katanya.
Tuntutan kerja yang memerlukan beliau merancang dengan teliti, mengutamakan perkara yang lebih mendesak serta mengurus masa dengan bijak, dipelajari daripada bapanya seorang bekas tentera yang memang terkenal dengan sifat tegas terhadap pengurusan masa.
“Sejak saya menuntut di universiti lagi, saya banyak belajar menguruskan masa daripada bapa saya yang terkenal dengan sifat tegasnya dan tidak berkompromi dalam soal menepati masa.
“Kerja seperti saya ini memang perlu kuat semangat, tidak mudah berputus asa serta berkeyakinan tinggi. Semua ini jadi mudah kerana ia selari dengan prinsip hidup saya,” katanya.
Nazlin juga sentiasa mengamalkan budaya bertoleransi serta profesional dalam bekerja menyebabkan beliau masih bertahan dalam kerjayanya sehingga ke hari ini.
“Tidak dinafikan kadang-kadang ada juga perbezaan pendapat, perbalahan, perasaan tidak puas hati dalam sesuatu perkara di kalangan rakan setugas, namun kami sentiasa bersikap profesional dalam bekerja dan boleh berbincang jika ada perkara atau sesiapa sahaja yang tidak berpuas hati.
“Sikap tolong-menolong dan berkerjasama antara satu sama lain dalam menyelesaikan tugasan memang dipraktikkan di sini,” katanya.
Sikap Nazlin yang mudah mesra dan peramah juga membuatkan beliau sentiasa disenangi rakan-rakan setugas.
Bagi gadis berambut lepas bahu ini, isu perbezaan gender dan bangsa di tempat kerja tidak menghalangnya untuk pergi jauh dalam bidang yang diceburinya.
Bertuah
Beliau turut meluahkan rasa bertuah kerana memiliki majikan yang begitu mengambil berat terhadap pekerjanya sama ada dari aspek pekerjaan serta kebajikan. Ditegur dan dimarahi majikan baginya adalah perkara biasa.
“Ia adalah perkara normal jika kita dimarah atau mendapat teguran daripada majikan, saya tidak pernah anggap teguran bertujuan untuk menjatuhkan saya.
“Malah, pada saya teguran itu adalah satu dorongan dan pembakar semangat untuk diri saya bekerja dengan lebih baik dan cemerlang di masa akan datang.
“Ia juga salah satu tunjuk ajar dan proses pembelajaran yang terbaik buat diri saya,” ujar Nazlin yang turut menjadikan amalan membaca sebagai aktiviti samping untuk meluaskan ilmu pengetahuan.
Walaupun sibuk bekerja dan belajar, anak kedua daripada tujuh orang adik-beradik ini tetap meluangkan masa pada hujung minggu dengan menonton wayang bersama rakan-rakan dan keluarga.
Ditanya mengenai impiannya di masa akan datang, jujur Nazlin berkata, tidak mahu membazirkan zaman mudanya begitu sahaja, beliau ingin menimba ilmu pengetahuan serta pengalaman sebanyak mungkin terutamanya dalam bidang yang diceburi sekarang.
Kejayaan dalam pelajaran serta kerjayanya kini, merupakan dorongan daripada keluarga dan rakan sekerjanya.
“Wanita zaman sekarang sudah semakin bijak dan semakin ramai mereka yang berjaya dengan cemerlang dalam kerjaya masing-masing. Saya ingin mencontohi mereka.”